
Pernahkah anda berdepan dengan situasi yang mulut diri berbau ketika berkomunikasi dengan orang lain, lebih-lebih lagi sejak kita menjadikan pemakaian pelitup muka suatu amalan untuk mencegah penyakit berjangkit?
Mulut berbau atau halitosis adalah masalah biasa yang boleh menjejaskan keyakinan diri serta interaksi sosial seseorang.
Walaupun ia bukanlah satu keadaan yang serius, mulut berbau boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius jika tidak ditangani segera.
Namun, jangan risau, ada caranya untuk mengatasi masalah ini.
Mari kita meneroka punca-punca dan cara mengatasi yang berkesan untuk menikmati nafas yang lebih segar dan meningkatkan kesihatan mulut secara menyeluruh.
Apa itu Halitosis?
Simptom-Simptom Mulut Berbau
Mulut berbau boleh menyebabkan orang lain menghindar atau mengelak dan boleh menjejaskan keyakinan diri serta harga diri individu yang mengalami halitosis. Berikut merupakan simptom-simptom masalah tersebut:- Lapisan putih pada lidah, terutamanya di bahagian belakang
- Mulut kering
- Pembentukan plak atau kotoran di sekitar gigi
- Post-nasal drip atau pengumpulan lendir di tekak
- Nafas berbau pada waktu pagi dan kepanasan lidah
- Air liur yang pekat serta keperluan berterusan untuk berdehem
- Rasa masam dan pahit yang berterusan
Punca-Punca Mulut Berbau
Terdapat pelbagai punca yang mengakibatkan mulut berbau, namun, bagi kebanyakan pesakit (lebih daripada 80%) berpunca daripada aktiviti mikroorganisma dalam rongga mulut. Mari kita meninjau punca-punca penting bagi masalah ini!
Kesihatan Mulut Yang Tidak Terjaga
Gagal menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan menggunakan flos boleh menyebabkan sisa makanan terperangkap di celah gigi. Lapisan bakteria yang tidak berwarna dan melekit dikenali sebagai plak akan terbentuk pada gigi.
Jika tidak dibersihkan, plak boleh merengsakan gusi. Lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan pembentukan poket berisi plak di antara gigi dan gusi. Peringkat awal penyakit gusi dikenali sebagai gingivitis, manakala penyakit gusi pada peringkat akhir yang melibatkan kehilangan tulang disebut periodontitis.
Selain itu, lidah yang tidak bersih atau mempunyai lapisan kotoran juga boleh memerangkap bakteria yang menghasilkan bau yang tidak menyenangkan dan menyebabkan mulut berbau, perubahan deria rasa dan mengakibatkan jangkitan mulut akibat pengumpulan bakteria.
Teruskan pembacaan:
Tips-Tips Hilangkan Plak Gigi Secara Berkesan – Zaitun
Pembersihan Gigi Palsu Yang Salah
Bakteria mampu membentuk biofilm (sekumpulan bakteria yang melekat pada permukaan) pada permukaan poly (methyl methacrylate, PMMA), iaitu bahan utama yang digunakan dalam penghasilan gigi palsu.
Gigi palsu juga boleh mengumpulkan bakteria penyebab bau dan sisa makanan, begitu juga dengan peralatan oral tetap atau boleh tanggal seperti pendakap gigi, jika tidak dibersihkan dengan baik atau tidak dipasang dengan betul.
Mulut Kering (Xerostomia)
Air liur ialah cecair badan yang penting dalam melindungi dan mengekalkan kesihatan rongga mulut serta membantu membersihkan mulut dengan menyingkirkan zarah yang menyebabkan bau tidak menyenangkan.
Mulut kering juga dikenali sebagai xerostomia, berlaku apabila kelenjar air liur di dalam mulut tidak menghasilkan air liur yang mencukupi untuk memastikan mulut kekal lembap. Menurut The American Academy of Oral Medicine, mulut kering biasanya disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk kesan sampingan ubat, pelbagai keadaan penyakit, rawatan penyinaran kepala dan leher, dehidrasi, pembedahan, merokok serta pernafasan melalui mulut.
Masalah Kesihatan Mulut
Tonsil merupakan sejenis tisu limfoid yang terletak di permulaan saluran pernafasan dan pencernaan yang dapat dilihat apabila anda membuka mulut dengan luas dan melihat ke bahagian sisi tekak. Ia merupakan sebahagian daripada sistem imun yang berfungsi untuk menapis bahan berjangkit sebelum ia melalui tekak, sekali gus membantu menghalang bakteria dan virus daripada memasuki tubuh.
Namun, keradangan atau pembengkakan tonsil yang disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria pula dinamakan sebagai tonsilitis. Batu kecil yang terbentuk di tonsil, dikenali sebagai batu tonsil atau tonsilolit dilapisi oleh bakteria yang boleh menyebabkan mulut berbau.
Jangkitan atau pembengkakan berterusan di hidung, sinus atau tekak boleh mengakibatkan postnasal drip, iaitu keadaan di mana cecair dari hidung mengalir ke bahagian belakang tekak. Keadaan ini juga boleh menyebabkan mulut berbau.
Masalah Kesihatan Dalaman
Mulut berbau mungkin merupakan tanda masalah kesihatan dalaman yang mengganggu sistem tubuh normal yang dikategorikan seperti berikut:
Gangguan Metabolik
- Penyakit diabetes
- Penyakit buah pinggang
- Penyakit hati
Gangguan Pernafasan
- Jangkitan saluran pernafasan yang melibatkan hidung atau paru-paru
- Penyakit bronkitis yang menyebabkan pengumpulan lendir
- Sinusitis yang merupakan radang dan bengkak lapisan tisu sinus
Gangguan Sistem Pencernaan
- Penyakit Refluks Gastroesofagus (GERD)
Refluks asid boleh menyebabkan kebocoran asid atau cecair perut ke dalam esofagus dan menghasilkan bau yang kuat - Gangguan Gastrousus
Beberapa keadaan boleh menyebabkan makanan tersimpan di dalam perut yang boleh menyebabkan mulut berbau - Halangan Usus
Nafas boleh berbau sekiranya seseorang mengalami muntah yang berpanjangan, terutamanya jika terdapat halangan usus
Perubatan
Terdapat pelbagai jenis ubat yang boleh menyebabkan mulut kering dan seterusnya mengakibatkan mulut berbau. Ini termasuk ubat tekanan darah, anti-kemurungan, pil tidur, ubat diuretik dan antihistamin.
Selain itu, tubuh juga memecahkan ubat-ubatan tertentu dan melepaskan bahan kimia yang boleh terbawa dalam nafas anda.
Pemakanan & Minuman
Pengambilan makanan yang berbau kuat seperti bawang, bawang putih dan rempah-ratus, serta minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan teh yang akan mengeringkan mulut juga boleh menyebabkan mulut berbau.
Di samping itu, pengurangan pengambilan karbohidrat dan peningkatan pengambilan protein boleh menyebabkan mulut berbau juga. Ini adalah kerana apabila tubuh bergantung pada kandungan lemak untuk menghasilkan tenaga, lemak akan dipecahkan lalu membentuk keton yang boleh menyebabkan nafas berbau.
Merokok
Rokok mengandungi pelbagai bahan yang boleh mengurangkan kadar oksigen dan mempunyai kesan seperti antibiotik. Keadaan ini boleh menyebabkan mulut kering, penyakit gusi dan kerosakan gigi, semuanya merupakan punca pertumbuhan bakteria yang menyebabkan mulut berbau.
Selain itu, merokok juga mengakibatkan kesan seperti perubahan warna gigi, kehilangan deria rasa dan kerengsaan gusi. Individu yang merokok lebih cenderung mengalami penyakit gusi dan berisiko lebih tinggi untuk menghidap kanser.
Ubat Gigi Zaitun Sesuai Untuk Seisi Keluarga!
Cara Mengatasi Mulut Berbau Dengan Berkesan
Rutin Kebersihan Mulut Yang Betul
Penjagaan kebersihan mulut merupakan langkah utama untuk mengatasi masalah mulut berbau. Berikut adalah beberapa panduan umum untuk memastikan senyuman anda kekal sihat:
- Berus gigi anda dengan ubat gigi berfluorida dua kali sehari selama kira-kira dua minit untuk memastikan gigi dan mulut kekal sihat serta mengelakkan pembentukan plak. Pastikan anda membersihkan semua permukaan gigi, termasuk bahagian dalam, bahagian luar dan permukaan yang digunakan untuk kunyahan.
Tukar berus gigi anda apabila bulunya mula kembang atau haus kira-kira setiap 3 hingga 4 bulan atau lebih awal jika perlu. Selain itu, pilihlah berus gigi berbulu lembut untuk penjagaan yang lebih baik. - Berus gigi sahaja tidak dapat mencapai ruang di antara gigi. Untuk membersihkan kawasan ini, anda perlu menggunakan flos gigi.
Flos gigi bukan sekadar untuk mengeluarkan sisa makanan yang terselit di antara gigi.
Amalan flos gigi secara berkala juga dapat mengurangkan risiko penyakit gusi dan nafas berbau dengan menyingkirkan plak yang terbentuk di sepanjang garisan gusi. Adalah lebih baik jika anda menggunakan flos sebelum memberus gigi. - Bersihkan lidah anda. Lidah menyimpan bakteria seperti span dan ia merupakan salah satu punca utama mulut berbau. Setiap kali anda memberus gigi, jangan lupa untuk memberus lidah juga dengan menggunakan berus gigi atau alat pembersih lidah.
Namun, hasil dalam satu kajian pada tahun 2004 mendapati bahawa penggunaan alat pembersih lidah lebih berkesan untuk menyingkirkan bakteria penyebab bau berbanding dengan memberus lidah dengan berus gigi. - Penggunaan cecair kumur yang mengandungi fluorida dapat membantu mencegah kerosakan gigi.
Namun, jangan menggunakan cecair kumur sejurus selepas memberus gigi kerana ia akan menghilangkan bahan fluorida yang masih melekat pada gigi anda. Sebaliknya, pilih waktu lain untuk menggunakan cecair kumur seperti selepas makan tengah hari.
Selain itu, elakkan makan atau minum selama 30 minit selepas menggunakan cecair kumur berfluorida.

Pastikan Mulut Sentiasa Lembap
Mulut yang kering sering merupakan punca kepada mulut berbau. Berikut adalah cara-cara untuk sentiasa memastikan mulut dalam keadaan lembap:
- Sentiasa kekal menghidratkan mulut dengan minum air secara berkala dan sepanjang hari untuk memastikan mulut sentiasa lembap.
- Merangsang pengeluaran air liur dengan mengunyah gula-gula getah tanpa gula, menghisap gula-gula keras atau gula-gula melegakan tekak. Pilih produk yang mengandungi Xylitol boleh membantu mencegah kerosakan gigi juga.
- Melembapkan udara kering dengan menggunakan alat pelembap udara terutamanya pada waktu malam.
- Bernafas melalui hidung kerana mulut berbau mungkin disebabkan oleh masalah kelenjar air liur atau tabiat bernafas melalui mulut secara berterusan dan bukan melalui hidung.
- Pengganti air liur yang dijual di farmasi dalam bentuk semburan atau gel dapat membantu melembapkan mulut.
- Pelembap bibir dalam bentuk balsam atau salap dapat mengelakkan bibir daripada menjadi kering dan retak.
Pengamalan Diet Yang Sihat
Untuk mengatasi masalah mulut berbau melalui pemakanan, fokuslah pada pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan snek sihat yang merangsang pengeluaran air liur sambil mengurangkan makanan dan minuman bergula.
Makanan yang perlu dimakan:
- Buah-buahan dan sayur-sayuran yang rangup seperti epal, lobak merah dan saderi membantu mengeluarkan sisa makanan serta merangsang pengeluaran air liur yang berfungsi menghilangkan bakteria penyebab bau mulut.
- Teh hijau mengandungi polifenol yang membantu melawan bau mulut dan melindungi gigi daripada kerosakan.
- Yogurt yang mengandungi kultur hidup dan aktif boleh meningkatkan kesihatan mulut dengan membawa bakteria baik yang membantu melawan bakteria berbahaya.
- Kebanyakan herba mengandungi agen antimikrob seperti parsli, selasih dan pudina boleh membantu mengurangkan bau mulut dengan membasmi bakteria yang mengakibatkan mulut berbau.
Makanan Yang Perlu Dihadkan Atau Dielakkan:
- Pengambilan makanan dan minuman bergula yang berlebihan boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria yang mencetuskan bau mulut.
- Makanan berbau kuat seperti bawang putih dan bawang merah boleh menyebabkan bau mulut kerana ia mengandungi sebatian meruap yang boleh diserap ke dalam aliran darah dan dilepaskan melalui nafas.
- Pengambilan minuman yang mengandungi kafein secara berlebihan boleh menyebabkan dehidrasi dan mulut kering yang seterusnya mengakibatkan mulut berbau.
- Untuk memahami cara mengatasi mulut berbau dengan lebih mendalam, sila rujuk artikel kami yang bertajuk Atasi Masalah Mulut Berbau dengan Ubat Gigi yang Tepat – Zaitun
Bilakah Anda Perlu Berjumpa Dngan Doktor Gigi?
Jika masalah mulut berbau masih berterusan walaupun selepas menggunakan cara mengatasi yang dicadangkan di atas, berjumpalah dengan doktor gigi untuk membincangkan sejauh mana keseriusan masalah yang dihadapi serta rawatan yang diperlukan.
Selain itu, anda boleh juga mengetahui dengan lebih terperinci tentang masalah kesihatan tertentu sebelum menerima sebarang rawatan. Sekiranya doktor gigi mengesyaki bahawa masalah mulut berbau ini berpunca daripada masalah kesihatan yang lebih serius, anda mungkin perlu menjalani pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan untuk mengenal pasti punca sebenar masalah yang dialami.
Kesimpulan
Jika anda mengalami masalah mulut berbau, periksa semula cara anda menjaga kebersihan mulut dan gigi seperti cara menggosok gigi dan membersihkan lidah serta menggunakan flos gigi dan cuba mengubah gaya hidup.
Selaku perintis jenama ubat gigi halal di Malaysia sejak tahun 1978, Zaitun sentiasa tahu tentang cara penjagaan kebersihan mulut kepada pengguna dengan menawarkan pelbagai pilihan produk yang bermutu tinggi!
Belilah ubat gigi Zaitun sekarang dan mengetahui lebih mendalam tentang produk kami dari laman web kami, akaun Tik Tok dan Instagram serta platform-platform pembelian seperti Shopee dan Lazada!
Maklumat yang terkandung dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan maklumat umum sahaja. Artikel ini tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis, dan rawatan perubatan profesional. Sentiasa rujuk kepada doktor gigi atau pakar kesihatan anda sebelum memulakan sebarang rutin penjagaan gigi baharu, atau jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kesihatan mulut anda.
Jadilah Rakan Niaga Zaitun
Soalan Lazim
Adakah mulut berbau berbahaya?
Setiap orang mengalami masalah mulut berbau dari semasa ke semasa terutamanya selepas makan makanan yang berbau kuat. Namun, masalah mulut berbau yang berterusan atau dikenali sebagai halitosis kronik mungkin menandakan masalah kesihatan mulut atau keadaan yang menjejaskan bahagian lain dalam tubuh badan anda kerana halitosis merupakan salah satu simptom bagi pelbagai penyakit yang berbahaya.
Bagaimana mengetahui bahawa nafas berbau berpunca daripada perut atau mulut?
Untuk menentukan sama ada masalah mulut berbau berpunca daripada perut, anda boleh mengenal pasti tanda-tanda yang mungkin berkaitan dengan masalah pencernaan.
Antara tanda-tanda biasa yang mungkin berkaitan dengan isu pencernaan termasuk:
- Rasa masam atau berasid di bahagian belakang tekak
- Rasa loya atau perut kembung selepas makan
- Sendawa atau buang angin yang berbau kurang menyenangkan
- Sakit atau ketidakselesaan di bahagian perut
- Cirit-birit atau sembelit
Walau bagaimanapun, anda diingatkan bahawa tanda-tanda ini boleh juga disebabkan oleh masalah lain. Maka, adalah lebih baik untuk berunding dengan doktor jika anda mempunyai sebarang kebimbangan.
Bolehkah mulut berbau disebabkan oleh kekurangan nutrisi?
Kekurangan nutrien tertentu tidak semestinya menyebabkan mulut berbau secara langsung, sebaliknya ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan mulut lain yang akhirnya mengakibatkan halitosis.
Mengikut kajian, kekurangan vitamin B6 dikaitkan dengan penyakit gusi peringkat lanjut yang boleh menyebabkan nafas berbau akibat pengumpulan bakteria dan kerosakan gigi.
Kekurangan zat besi atau pengambilan kalori harian yang tidak mencukupi boleh menyebabkan gangguan fungsi kelenjar air liur yang mengakibatkan pengeluaran air liur berkurangan.